PENGUMUMAN KEPUTUSAN UPSR

Tarikh 19 November 2012 dinanti dengan penuh debar bukan sahaja oleh semua calon UPSR SK Kuala Berang tetapi juga oleh semua guru SK Kuala Berang.  Semua tertanya-tanya dengan keputusan yang bakal diperoleh oleh SK Kuala Berang.
Jam 9.15 pagi, sewaktu Guru Besar tiba dari Pejabat Pelajaran Daerah, senyuman lega mula terukir di wajah guru-guru apabila keputusan akhirnya menjawab segala teka-teki.  2012 menyaksikan keputusan yang terbaik dalam sejarah UPSR SK Kuala Berang apabila SKKB telah berjaya mencatatkan keputusan seperti berikut :

                            5A           :  19 orang ( 36.54% )
                            GPS        :  1.37
                            LSMP     :  100%

Keputusan ini juga telah menempatkan SK Kuala Berang di tangga keempat peringkat daerah Hulu Terengganu dan tempat kelima peringkat negeri Terengganu Darul Iman.
Slip keputusan telah diserahkan kepada semua calon UPSR 2012 oleh Encik Baharu bin Abdul Ghani, YDP PIBG dalam satu majlis ringkas yang diadakan di dewan sekolah.  Setelah selesai penyampaian slip keputusan dan hadiah kepada calon-calon yang telah berjaya mendapat 5A, sesi bergambar telah diadakan.
Tahniah kepada semua yang berjaya dan kepada yang kurang berjaya, jangan putus asa.  Teruskan usaha di sekolah menengah nanti.




RONDA-RONDA KUALA LUMPUR

Bermula pada 1 Oktober 2012 hingga 4 Oktober 2012, seramai 42 orang murid gabungan tahun 6 dan tahun 4 telah bersama mengikuti Lawatan Sambil Belajar ke Kuala Lumpur anjuran Unit Kaunseling SK Kuala Berang.
Mengikuti pakej lawatan di bawah kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad, lawatan ini menjadi sesuatu yang amat rileks dan santai.  Pegawai KTMB yang mengendalikan SK Kuala Berang iaitu Encik Anuar bin Abdullah memudahkan dan melicinkan perjalanan lawatan apatah lagi dengan 'tourist guide' yang cukup sporting dan peramah iaitu Encik Suraji.  Seronok bersama mereka di sepanjang lawatan.
Kami bertolak dari SK Kuala Berang menaiki bas ke Stesen Keretapi Tanah Merah pada jam 2.30 petang.  Keretapi bertolak dari Stesen KTMB Tanah Merah jam 7.45 malam dan tiba di KL Sentral jam 8.00 pagi.  Pengalaman menyeronokkan buat murid-murid yang pertama kali menaiki keretapi.
Perjalanan pulang bermula dengan menaiki keretapi di KL Sentral jam 7.30 malam dan tiba di Stesen KTMB Tanah Merah jam 11.30 pagi.  Alhamdulillah, perjalanan yang panjang yang terpaksa ditempuhi ini berakhir dengan selamat berkat izin Allah s.w.t.
Sesungguhnya, SK Kuala Berang amat berbesar hati menerima layanan yang amat memuaskan daripada KTMB juga daripada penaja-penaja yang telah menaja semua makanan sepanjang kami berada di Kuala Lumpur iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran.

Di Masjid Negara

Cikgu Rose Merlina menerangkan tentang stesen-stesen yang disinggah oleh LRT sebelum tiba di KLCC

Di KLCC

Encik Anuar, Pegawai di Kementerian Belia dan Sukan

Di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya


Puan Hawa - pegawai TNB yang menaja SK Kuala Berang di KIDSZANIA, Mutiara Damansara

Dalam keretapi - perjalanan pulang

Pertukaran Guru Penolong Kanan 1

Puan Aminah binti Ismail, memulakan perkhidmatan beliau sebagai Guru Penolong Kanan 1 di Sekolah Kebangsaan Kuala Berang pada tahun 2009.  Sepanjang berada di SK Kuala Berang, pelbagai aktiviti telah dirancang dan direncanakan oleh beliau demi memajukan SK Kuala Berang dan demi menaikkan nama SK Kuala Berang di mata semua.  Dikenali sebagai seorang yang agak tegas dan serius sewaktu melaksanakan tugas, beliau tetap seorang yang mudah didekati.  Beliau adalah seorang GPK yang mudah dibawa berbincang dan seorang yang sangat tidak berkira dari segala segi.  Beliau disenangi oleh semua guru dan kakitangan kerana beliau merupakan seorang yang tegas tetapi bertempat.  Kerja menjadi mudah dengan pendekatan yang beliau gunakan.
SK Kuala Berang merasa satu kehilangan apabila pada tanggal 16 September 2012, beliau diarahkan untuk memulakan tugas beliau sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Kuala Jenderis.  Pada mulanya, pertukaran beliau adalah sesuatu yang sukar diterima oleh semua warga SK Kuala Berang, namun demi masa depan beliau, pertukaran itu direlakan.  Buat Puan Aminah binti Ismail, selamat menjalankan tugas baru dan semoga terus cemerlang dengan amanah baru.
Di bawah adalah gambar-gambar yang telah dirakamkan pada hari terakhir Puan Aminah binti Ismail berada di SK Kuala Berang.  Sesi bersalaman bersama semua murid dan semua guru mengakhiri tugas beliau di SK Kuala Berang.  Terima kasih sekalung budi..jasamu tetap di hati..







Menggantikan tempat beliau adalah Puan Norizan binti Daud yang dinaikkan daripada GPK Ko Kurikulum kepada GPK 1 dan SK Kuala Berang menerima GPK Ko Kurikulum baru iaitu Encik Mohd Norman bin Ibrahim dari SK Kua.  Kedua-duanya diterima dengan hati terbuka dan selamat bekerjasama...

En. Mohd Norman bin Ibrahim

SAMBUTAN AIDILFITRI

4 September 2012 - Sambutan Aidilfitri 2012 peringkat Sekolah Kebangsaan Kuala Berang telah berlangsung dengan jayanya.  Di bawah pimpinan Cikgu Rospi bin Abu Bakar selaku Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan 2012-2013, dengan kerjasama ahli-ahli jawatankuasa, majlis yang dirancang telah dapat disempurnakan dengan meriah.
Tahun ini, sambutan raya peringkat sekolah turut sama dihadiri oleh pegawai-pegawai ikhtisas Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, Pengurus Besar Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud bersama kakitangan beliau, hadir selaku penyumbang terbesar melalui Program PINTAR TNB, kakitangan YPEIM yang juga tidak pernah lokek menghulurkan sumbangan dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan Yang Dipertua PIBG, Naib Yang Dipertua PIBG serta semua AJK PIBG.
Lebih terasa kemeriahannya apabila setiap guru rumah sukan yang diamanahkan untuk menghias meja-meja yang disediakan untuk VIP telah bertungkus lumus dan berusaha sedaya mungkin untuk menyediakan yang terbaik.  Sambutan raya diserikan dengan persembahan murid-murid mengikut rumah sukan dan diakhiri dengan pemberian duit raya kepada semua murid Sekolah Kebangsaan Kuala Berang.  Gambar-gambar di bawah adalah gambaran suasana sambutan Aidilfitri yang berlangsung di dewan sekolah.

















PERTANDINGAN MELUKIS PERINGKAT DAERAH SEMPENA PROGRAM PENDIDIKAN KEBERSIHAN

Tanggal 28 Ogos 2012, Sekolah Kebangsaan Kuala Berang telah diamanahkan untuk menjadi tuan rumah kepada pertandingan melukis peringkat daerah Hulu Terengganu sempena Program Pendidikan Kebersihan Negeri Terengganu 2012.
Penyertaan adalah melibatkan murid-murid yang terpilih mewakili sekolah-sekolah daerah Hulu Terengganu yang terbahagi mengikut kategori.  Kategori-kategorinya adalah Prasekolah, Sekolah Rendah, Menengah Rendah dan Menengah Atas.
Bermula dengan pendaftaran pada jam 8.30 pagi, pertandingan diteruskan dengan taklimat syarat-syarat pertandingan oleh panel hakim.  Semua peserta memulakan pertandingan tepat jam 9.00 pagi dan ia berakhir jam 11.30 pagi.
Peserta Prasekolah dari SK Kuala Berang telah berjaya mengharumkan nama sekolah dengan muncul sebagai johan bagi kategori prasekolah.  Tahniah diucapkan.














MAJLIS PRA AIDILFITRI

Ceria mendengar tazkirah tentang sambutan Hari Raya

Ustaz Muhammad Zuki menyampaikan tazkirah tentang sambutan raya

Ucapan oleh Guru Besar

Penyampaian sumbangan Hari Raya

Penyampaian sumbangan Hari Raya

Sedar tidak sedar, Ramadhan yang mulia telah hampir tiba ke penghujungya dan Syawal bakal menjelma.  Hati yang sayu dengan pemergian Ramadhan tahun ini pasti akan merindui Ramadhan lagi pada tahun mendatang.  Cuma sempatkah kita untuk bertemu Ramadhan sekali lagi..itu kuasa Dia Yang Maha Esa.
Dalam sebak meninggalkan Ramadhan, Aidilfitri tetap dinantikan.  Memandangkan 16 Ogos 2012 ini merupakan hari terakhir persekolahan sebelum Aidilfitri, pihak sekolah telah menganjurkan Majlis Pra Aidilfitri. 
Dalam majlis kali ini, telah diselitkan dengan tazkirah yang penuh dengan humor tetapi padat dengan info berguna oleh Ustaz Muhammad Zuki bin Taha.  Diikuti ucapan wakil guru dan ucapan oleh encik Ahmad Fuad bin Zakaria, Guru Besar.
Sebelum majlis berakhir dengan bersalaman, 20 orang murid telah menerima sumbangan Hari Raya yang telah disampaikan oleh Tuan Guru Besar.  Semoga sumbangan kecil ini akan memberi makna besar buat mereka dalam merayakan sambutan Aidilfitri.
Buat semua, SALAM EID MUBARAK dari seluruh ahli keluarga besar SEKOLAH KEBANGSAAN KUALA BERANG.

Anak bulan telah kelihatan
Tanda Syawal menggantikan Ramadhan
Salam Aidilfitri kami ucapkan
Mohon dimaafkan segala kesilapan


MAJLIS KHATAM QURAN

16 Ogos 2012 - Hari terakhir persekolahan sebelum Hari Raya Aidilfitri.  Program yang telah menjadi acara tahunan Sekolah Kebangsaan Kuala Berang iaitu Majlis Khatam Quran, telah diadakan di surau sekolah melibatkan semua murid dan semua guru.
Penglibatan semua murid ini mendedahkan kepada mereka tentang bagaimana khatam Al-Quran dilakukan di mana-mana jua.  Sekurang-kurangnya, majlis ini memberi mereka pengetahuan yang cukup berguna tentang mengendalikan majlils khatam Quran.
Bermula tepat jam 11 pagi dan berakhir jam 11.30 pagi, majlis ini diketuai oleh Ustaz Azman bin Mustafa dengan dibantu oleh guru-guru Panitia Agama Islam.  Semua murid dan guru yang berkumpul di surau khusyuk mengikuti bacaan surah-surah lazim bermula surah Ad-Dhuha sehinggalah An-Nas.  Seramai 16 orang murid telah dipilih untuk mengetuai bacaan setiap surah mengikut giliran masing-masing.
Tahun ini, majlis menjadi lebih bermakna dengan sumbangan yang telah diberikan oleh pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YPEIM ) melalui cenderahati yang diserahkan kepada semua murid yang mengambil bahagian dalam Tadarus Al-Quran bermula awal Ramadhan lalu.
Juga turut menghulurkan sumbangan adalah penender kantin sekolah, Puan Zainon Mamat yang telah bermurah hati mengagihkan bubur lambuk kepada semua murid dan semua guru serta seluruh warga Sekolah Kebangsaan Kuala Berang.
JAZAKALLAHUKHAIRANKASIRA....

Bersiap sedia untuk memulakan majlis

Bersedia di surau sekolah

Cenderahati sumbangan YPEIM

Murid yang terpilih mengetuai bacaan

Bacaan oleh murid
Murid-murid yang mengetuai bacaan surah-surah

Mengaminkan doa setelah selesai majlis

Penyampaian cenderahati
Penyampaian cenderahati

Penyampaian cenderahati

Ustaz Azman yang mengetuai majlis menerima cenderahati

Ustaz Muhammad Zuki bin Taha

Khusyuk mendengar penerangan tentang tatacara khatam Al-Quran

Encik Ahmad Fuad bin Zakaria, Guru Besar