HARI TEMU MURNI

2 Julai 2012, Isnin...menjadi saksi pertemuan antara ibu bapa dan para guru Sekolah Kebangsaan Kuala Berang dalam usaha memantapkan perkembangan pembelajaran anak-anak.  Acara yang telah dijadikan sebagai salah satu acara tahunan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila hampir 98% ibu bapa menghadirkan diri untuk bertemu dengan guru-guru yang mengajar anak masing-masing.
Acara bermula dengan pendaftaran ibu bapa pada jam 9.30 pagi.  Sesi pertama berlangsung di dewan sekolah tepat jam 10.15 pagi dimulakan dengan bacaan doa diikuti ucapan Guru Besar dan ucapan perasmian.  Pada tahun ini, Hari Temu Murni Sekolah Kebangsaan Kuala Berang telah dirasmikan oleh Encik Baharu bin Abdul Ghani, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Selesai ucapan perasmian, Encik Baharu bin Abdul Ghani telah menyampaikan hadiah kepada murid terbaik OTI 2 iaitu Nurul Najihah binti Azha.  Nurul Najihah telah berjaya mendapat 5A dalam OTI 2, 12 A daripada 14 subjek keseluruhan dan terbaik kelas 6 Al-Falah. 
Berakhir upacara penyampaian hadiah, para ibu bapa mula bergerak ke kelas anak masing-masing untuk sesi temu murni bersama guru-guru mengikut kelas.  Bagi kelas tahun 6, sesi temu murni ini berlangsung di dewan sekolah.
Buat para ibu bapa yang sudi hadir, terima kasih daripada pihak Sekolah Kebangsaan Kuala Berang dan semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua.

Tinggi sungguh bulan di awan,
Jauh hingga tak tergapai tangan,
Terima kasih atas kehadiran,
Semoga tercapai maksud tujuan.

Di bawah adalah gambar-gambar yang telah dirakamkan sepanjang majlis berlangsung.
















No comments: