LAWATAN TUAN PEGAWAI PELAJARAN DAERAH (HULU TERENGGANU) BERSAMA PIHAK UTUSAN MALAYSIA UNTUK PENGGUNAAN TUTOR



HULU TERENGGANU 8 Julai - Sekolah Kluster Kecemerlangan negeri, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Berang di sini menyasarkan peningkatan berterusan peratus kelulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerusi komitmen padu yang diperlihatkan warga sekolah.
Sasaran itu turut disokong oleh pelbagai alat bantu mengajar yang menambahkan lebih keyakinan termasuk penggunaan akhbar pendidikan Utusan Malaysia iaitu Tutor pada tahun ini dengan sokongan Pegawai Pendidikan daerah, Shafruddin Ali Hussin.
Guru Besarnya, Hasnah Hasan berkata, kesan penggunaan Tutor menampakkan perubahan positif terhadap pencapaian murid sekali gus diperakui sesuai dijadikan bahan rujukan dalam menghadapi peperiksaan yang dipersembahkan dalam bentuk akhbar yang menarik dan menceriakan.
"Pihak sekolah dan guru amat yakin untuk menggunakan Tutor memandangkan dihasilkan oleh guru pakar dan berpengalaman dan berdasarkan maklum balas daripada pelajar, soalan latih tubi Tutor yang ringkas, padat serta tidak terlalu sukar untuk difahami.
"Pengisiannya mematuhi sukatan atau kehendak peperiksaan dan soalan yang disediakan terbukti membantu murid terutama dalam mata pelajaran Matematik," katanya selepas majlis penyerahan rasmi langganan Tutor UPSR di sekolah itu di sini hari ini.
Yang turut hadir Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Berhad Zon Terengganu, Mohamad Syahrul Nizam Md. Ishak.
SK Kuala Berang merupakan satu daripada 49 sekolah di Parlimen Hulu Terengganu yang terpilih menerima tajaan akhbar pendidikan Tutor daripada YTL Power Service Sdn. Bhd. bernilai RM6,850 bagi 13,700 naskhah yang mula diedarkan setiap minggu sejak lebih sebulan lalu sehingga sesi persekolahan berakhir.
Selain sekolah di Parlimen Hulu Terengganu, akhbar tersebut turut diagihkan di 48 sekolah di Dungun.
Sementara itu, Shafruddin berkata, sebagai sekolah terbaik di Hulu Terengganu dan di tangga ke-2 peringkat negeri, SK Kuala Berang diharap dapat mengekalkan keunggulan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) dengan penggunaan bahan alternatif seperti Tutor.
Katanya, menerusi Tutor murid dapat menguasai elemen-elemen termasuk yang ketinggalan dalam pelajaran masing-masing sekali gus mewujudkan budaya belajar dalam kalangan mereka.
"Selain menggalakkan ulangkaji kendiri, murid berpeluang melakukan simulasi menjawab soalan menerusi Tutor yang akan membiasakan mereka ketika menghadapi peperiksaan sebenar.
"Kita berharap sekolah ini dapat mencapai 1.30 GPS sekali gus menyaksikan peningkatan 20 peratus A dalam semua subjek, manakala sekolah-sekolah lain di daerah ini terus bersaing ke arah kecemerlangan,'' katanya